Thursday 21 April 2011

Dasar pendidikan di Malaysia pra merdeka dan selepas merdeka

Dasar pendidikan di Malaysia pra merdeka dan selepas merdeka.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946, Inggeris telah mengambil alih semula kuasa di Tanah Melayu. Kesan daripada penjajahan Jepun telah berjaya membangkitkan kesedaran, semangat nasionalisme dan kepentingan pendidikan di kalangan penduduk pribumi. Pihak Inggeris mula membuat penilaian, kajian dan perubahan dasar dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu. Antara laporan dan perubahan dasar itu sehingga pra merdeka ialah Laporan Cheeseman (1946), Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951) dan Laporan Razak (1956).

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Antara cadangan dalam Laporan Barnes ialah:
1. Pendidikan percuma untuk semua kanak-kanak di sekolah kebangsaan.
2. Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan pada peringkat sekolah rendah. Sebagai ganti hanya satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan.
3. Sekolah kebangsaan menggunakan satu bahasa sahaja sebagai bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu atau Inggeris.
4. Sekolah kebangsaan ditadbir dan dibiayai bersama oleh Penguasa Pelajaran Tempatan.
5. Untuk sekolah menengah, hanya satu bahasa pengantar Inggeris sahaja yang akan wujud.

Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.

Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu. Antara cadangan Laporan Fenn-Wu ialah:

1. Dasar pendidikan di Tanah Melayu hendaklah bermatlamat ke arah pembentukan kewarganegaraan Malaya.
2. Pemaksaan terhadap rakyat berbilang kaum untuk mempelajari satu atau dua bahasa akan menjejaskan perpaduan kaum.
3. Orang Cina sedar dan akan bersedia mempelajari bahasa Melayu dan Inggeris di samping bahasa mereka, maka hendaklah memberi galakan.
4. Kelemahan sistem pendidikan Cina ialah kurangnya guru terlatih dan tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai.
5. Penubuhan Kolej Latihan Guru dan Latihan Dalam Perkhidmatan untuk sekolah Cina perlu dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan guru.
6. Pihak Inggeris perlulah memberi dan menambahkan bantuan kewangan kepada pentadbiran sekolah Cina.

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan:

1. Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.
2. Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah.
3. Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan.

Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatan Kuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Menghadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.

Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada dasar pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina telah terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.

Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara kandungan yang termaktub dalam Laporan Razak ialah:
1. Persamaan sukatan pelajaran bagi semua sekolah di Tanah Melayu.
2. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah.
3. Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah.
4. Penubuhan satu jenis sekolah menegah kebangsaan yang terbuka kepada semua bangsa dan menggunakan satu sukatan pelajaran yang sama.
5. Sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar.
6. Penubuhan Penguasa Pelajaran Tempatan bagi mengelolakan sekolah di Tanah Melayu.
7. Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidamatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanankan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Ini merupakan sejarah Malaya, di mana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

Laporan Rahman Talib 1960

Pada tahun 1960, Jawatankuasa Rahman Talib ditubuhkan untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Laporan ini adalah kesinambungan daripada Laporan Razak bagi mengkaji dan menyemak semula kedudukan mata pelajaran agama Islam, mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dan memperluaskan peluang mendapat pendidikan. Antara kandungan utama laporan ini ialah:
1. Pelajaran rendah percuma untuk semua kanak-kanak.
2. Semua sekolah rendah bantuan kerajaan akan berubah menjadi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.
3. Umur berhenti sekolah dinaikkan kepada 15 tahun.
4. Murid akan dinaikkan darjah secara automatik.
5. Semua peperiksaan am di sekolah menengah akan menggunakan satu bahasa rasmi sahaja.
6. Pelajaran agama Islam hendaklah disediakan di semua sekolah bantuan penuh yang mempunyai murid Islam tidak kurang daripada 15 orang. penubuhan sekolah pertukangan dan sekolah menengah teknik.

Cadangan yang terkandung dalam Lapran Rahman Talib menunjukkan keazaman kerajaan membentuk satu sistem pendidikan bersifat kebangsaan yang bertujuan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum. Laporan Jawatankuasa ini telah menjadi asas kepada penggubalan Akta Pendidikan 1961.

Akta Pelajaran 1961

Akta Pelajaran 1961 memaktubkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dilaksanakan sehingga sekarang. Dasar tersebut diasaskan kepada peruntukan utama dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 dan telah melahirkan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang terdapat pada hari ini.Ke arah mencapai matlamat perpaduan masyarakat, Akta ini telah menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua murid. Akta ini menitikberatkan penghasilan tenaga kerja yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Sejak kemerdekaan pelbagai usaha telah dibuat ke arah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan, melaksanakannya dan penyemakan semula dengan tujuan untuk mengukuhkan pelaksanaannya dan perjuangan bahasa kebangsaan ke arah memupuk perpaduan kaum.

Laporan Kabinet 1979

Pada September 1974, jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan. Bidang rujukan yang diberikan kuasa kepada Jawatankuasa tersebut ialah mengkaji semula matlamat dan sistem pendidikan dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisplin dan terlatih. Agenda utama pendidikan masih lagi perpaduan kebangsaan. Penekanan adalah lebih kepada pembentukan kurikulum yang mempunyai kandungan sukatan pelajaran yang sama untuk mencapai perpaduan nasional. Istilah perpaduan telah dinyatakan sebagai sifat afektif yang merangkumi perasaan, emosi, sentimen, sikap dan nilai. Berpandukan Laporan Kabinet, matlamat pendidikan kebangsaan telah dikhususkan untuk:
1. Mencapai perpaduan nasional.
2. Menghasilkan tenaga kerja berkualiti kepada pembangunan negara.
3. Mencapai pendemokrasian pendidikan.
4. Menanamkan nilai positif.

Antara perubahan besar yang berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia dari Laporan Kabinet wujudnya kurikulum baru pendidikan iaitu Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah diperkenalkan pada tahun 1983 dan diikuti Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.Dasar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pula pada tahun 1990. Pada tahun 1983, dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ini telah diperluaskan hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa keud juga turut diberi tumpuan. Selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada peringkat rendah yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan.

Pada tahun 1980an, akses dan peluang pendidikan untuk rakyat tanpa mengira kaum ditingkatkan dengan penambahan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar. Untuk mengurangkan jurang perbezaan peluang pendidikan antara golongan kaya dengan yang miskin, program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Televisyen Pendidikan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), asrama desa dan asrama harian, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program kesihatan dipertingkatkan. Kemudahan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi juga diberikan kepada penduduk miskin di bandar.

Akta Pendidikan 1996

Dalam memasuki era kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi kesan kepada perkembangan negara, kerajaan telah mengkaji semula Akta Pelajaran 1961 untuk merealisasikan cita-cita negara. Antaranya ialah:
1. Penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.
2. Sistem pendidikan kebangsaan meliputi peringkat pendidikan prasekolah hingga ke pendidikan tinggi.
3. Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa pengantar.
4. Menteri Pendidikan boleh menubuhkan pendidikan teknik di mana-mana institusi pendidikan termasuklah pendidikan tinggi.
5. Penubuhan Maktab Perguruan adalah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia.
6. Di sekolah yang mempunyai lebih daripada lima orang pelajar Islam maka adalah wajib guru agama disediakan.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan pengubahsuaian dan penambahan beberapa perkataan.

1 comment:

  1. Sangat bernas. Menggunakan proofreading malaysia mungkin akan dapat mencantikkan lagi gaya bahasa yang digunakan.

    ReplyDelete