Saturday 23 April 2011

Mari belajar Bahasa Temiar


Mari kita belajar bahasa Temiar
 1) Saya: E (jika dipermulaan ayat), Yek (jika ditengah ayat)
Contoh: E cen ma hak: saya mahu sama kamu *wink wink*
2. Kamu (Ha (permulaan ayat) atau Hak (akhir ayat)
Contoh: Ha cen ma yek (kamu mahu sama aku)
3. Dia (Na)
Contoh: Na cen ma yek (Dia suka sama aku)
4. Hak Mej (kamu baik)
5. Selamat datang : Selamat tibak/hu wal
6. Apa khabar : Elok gah?
7. Khabar baik : Gah mejelamat pagi = Selamat Yehyak
8. Selamat malam = Selamat Lagyek
9. Selamat Jalan = Selamat Cebcib
10. Nama Kamu Siapa? = Ilok Kenek Hak?
11.Kamu Tinggal Di mana? = Hak Gel Enlok?
12. Saya Suka Kamu = Yek Icin Mahak
13. Khabar tak baik : Gah la es

Orang Asli Semakin Mementingkan Pendidikan

Orang Asli Semakin Mementingkan Pendidikan
GUA MUSANG: Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar, Kuala Betis dekat sini semakin mengutamakan pendidikan bagi generasi muda mereka demi menjamin kelangsungan masyarakat mereka dan melahirkan generasi berpengetahuan.
Pendidikan kini dilihat sebagai laluan utama untuk mengekalkan identiti kaum mereka dalam meniti arus pembangunan negara yang kian pesat.
Seorang penduduk Orang Asli di Pos Balar, Abdullah Seman, 56, berkata pendidikan menjadi kunci untuk anak-anaknya terus mencari kehidupan yang lebih bermakna dengan punca rezeki yang lebih baik.
"Dahulu tidak ramai yang utamakan pendidikan. Bagi kami buat apa belajar sedangkan boleh hidup dengan cara tradisional.
"Tetapi pendapatan kerja kampung tidak lagi mencukupi untuk generasi baru. Lambat-laun punca hidup akan hilang bersama identiti kami. Jadi pendidikan adalah jalan keluar untuk generasi muda mencari rezeki," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun dugaan yang dihadapi anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah menjadikan hasrat Abdullah sedikit sukar.
Beliau berkata anaknya yang bersekolah menengah terpaksa tinggal di asrama di Gua Musang yang terletak kira-kira 50 kilometer dari kampungnya.
"Sekolah rendah sudah ada di sini tetapi sekolah menengah semuanya jauh-jauh. Kami bukan berkemampuan untuk jumpa anak kami di sana. Tetapi demi masa depan mereka apa yang boleh kami buat," katanya.
Osman Abas, 43, berkata keperluan sekolah semakin meningkat dan pendidikan peringkat tinggi di kawasan petempatan Orang Asli semakin diperlukan.
"Kami pun mahu anak kami maju. Kerajaan banyak tolong kami dengan memberi petempatan di sini. Mereka juga sediakan sekolah. Tetapi sekarang kami perlukan sekolah menengah yang lebih dekat seperti di pekan Kuala Betis," katanya.
Kuala Betis terkenal sebagai petempatan Orang Asli Temiar yang terbesar di negeri Kelantan.
Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang yang terkenal bagi aktiviti pelancongan kerana adanya Gua Cha, yang merupakan antara petempatan awal manusia pada zaman Mesolitik.
Kuala Betis kini menikmati arus pemodenan dan orang Asli tidak lagi terpinggir kerana mereka disediakan kemudahan perumahan, sekolah, dewan masyarakat dan sebagainya.
Hasrat Abdullah dan Osman tidak sia-sia kerana Kementerian Pelajaran menerima baik permintaan mereka supaya sebuah sekolah menengah dibina di Kuala Betis.
Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad Zarkashi, dalam lawatannya ke Kuala Betis pada 8 Feb, berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat kementerian supaya projek terbabit disertakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Apapun kita rasa bangga dengan minat kaum Orang Asli sejak kebelakangan ini untuk menghantar anak ke sekolah hingga mencadangkan kepada kerajaan membina sebuah sekolah menengah di Kampung Kuala Betis.
"Nampaknya fikiran mereka sudah banyak berubah dan kita juga dimaklumkan pelajar anak Orang Asli di Kelantan terus bertambah setiap tahun hingga memerlukan pertambahan bilik darjah," kata Dr Mohd Puad.
Keputusan Dr Mohd Puad itu memberikan ketenangan kepada Abdullah dan Osman kerana sudah lama mereka dan 600 lagi anggota masyarakat di Pos Balar menanti pembinaan sekolah itu yang jauh lebih dekat dari Gua Musang.
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK)Zahari Daud berkata beliau berbangga kerana berdasarkan laporan, pelajar anak Orang Asli semakin berminat datang ke sekolah, dan tidak lagi pulang ke rumah semasa sesi belajar berbanding sebelum ini.
Beliau berkata perubahan ini menunjukkan bahawa minda mereka sudah terbuka dan minat untuk belajar sebagai persediaan untuk menempuh masa depan yang mencabar.
"Soal guru, saya rasa tidak timbul masalah lagi kerana kita sudah hantar dengan cukup khususnya membabitkan sekolah di pedalaman termasuk guru bagi subjek bahasa Inggeris," katanya.
Beliau berkata guru yang dihantar itu diberi elaun khas berdasar cabaran perjalanan mereka dan banyak lagi keperluan lain yang sudah dipertimbang bagi kelayakan itu.
Selaras dengan itu, JPNKmenubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau kemajuan dan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar anak Orang Asli khususnya membabitkan semua sekolah di perkampungan kaum itu di pedalaman Hulu Kelantan.
Beliau berkata jawatankuasa itu yang turut membabitkan pegawai Jabatan Pelajaran Daerah termasuk Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai akan merancang program terbaik untuk kemajuan pendidikan pelajar Orang Asli sama ada di sekolah kebangsaan atau menengah.
"Seboleh-bolehnya ada dalam kalangan mereka memperoleh kejayaan cemerlang termasuk dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Pertimbangan kerajaan persekutuan bukan setakat pendidikan malah menjangkau pelbagai aspek termasuk peruntukan RM41.4 juta pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Datuk Mohd Sani Mistam berkata peruntukan bagi melengkap perkampungan Orang Asli seluruh negara dengan pelbagai kemudahan asas dan memberi keselesaan hidup mereka adalah termasuk membina rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) agar mereka tinggal tetap di perkampungan yang disediakan kerajaan. – BERNAMA

Khamis, 24 Mac 2011

Enggan dilabel kaum pemalas dorong kejayaan anak Orang Asli dalam SPM

GUA MUSANG, 23 Mac (Bernama) -- Enggan dilabel kaum malas belajar menjadi pendorong utama kepada seorang pelajar kaum Orang Asli untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ramon Bah Ayoh, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra Satu (SMKTIP1) di sini berkata akibat tidak mahu disamakan dengan rakannya yang malas belajar telah menjadi pendorong untuknya berjaya.

"Saya berjaya mendapat 7A 2D dalam peperiksaan SPM tahun lalu," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussein Awang hari ini mengumumkan Ramon adalah pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam keputusan SPM di negeri itu.

Hussein berkata Ramon, yang tinggal di Kampung Lambok, Kuala Betis, merupakan pelajar mencatat sejarah baru kejayaan cemerlang bagi kaum itu dalam peperiksaan SPM di Kelantan.

Ramon, salah seorang daripada 79 calon pelajar Orang Asli yang menduduki SPM tahun lalu di sekolah itu, menganggap kejayaan itu adalah hasil sokongan guru dan ibu bapanya.

Ayah Ramon, Bah Ayoh Tampong, 58 serta ibunya, Siti Rohani Pandak, 45, turut gembira dengan keputusan anaknya itu.

Siti Rohani berkata, kesemua anak-anaknya minat untuk belajar termasuk adik beradik Ramon yang lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan kerap cemerlang dalam peperiksaan pertengahan atau akhir tahun.

Beliau berkata, seorang kakak Ramon yang belajar di tingkatan enam sekolah itu juga menjadi pendorong kepada kejayaan adik beradik yang lain dengan harapan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita sebelum ini rasa malu apabila orang kerap bersuara kemunduran Orang Asli seperti saya ini, sebab itu saya menekankan kepada anak-anak belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan kita anak Orang Asli juga boleh berjaya," katanya.



Thursday 21 April 2011

Dasar pendidikan di Malaysia pra merdeka dan selepas merdeka

Dasar pendidikan di Malaysia pra merdeka dan selepas merdeka.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946, Inggeris telah mengambil alih semula kuasa di Tanah Melayu. Kesan daripada penjajahan Jepun telah berjaya membangkitkan kesedaran, semangat nasionalisme dan kepentingan pendidikan di kalangan penduduk pribumi. Pihak Inggeris mula membuat penilaian, kajian dan perubahan dasar dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu. Antara laporan dan perubahan dasar itu sehingga pra merdeka ialah Laporan Cheeseman (1946), Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951) dan Laporan Razak (1956).

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Antara cadangan dalam Laporan Barnes ialah:
1. Pendidikan percuma untuk semua kanak-kanak di sekolah kebangsaan.
2. Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan pada peringkat sekolah rendah. Sebagai ganti hanya satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan.
3. Sekolah kebangsaan menggunakan satu bahasa sahaja sebagai bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu atau Inggeris.
4. Sekolah kebangsaan ditadbir dan dibiayai bersama oleh Penguasa Pelajaran Tempatan.
5. Untuk sekolah menengah, hanya satu bahasa pengantar Inggeris sahaja yang akan wujud.

Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.

Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu. Antara cadangan Laporan Fenn-Wu ialah:

1. Dasar pendidikan di Tanah Melayu hendaklah bermatlamat ke arah pembentukan kewarganegaraan Malaya.
2. Pemaksaan terhadap rakyat berbilang kaum untuk mempelajari satu atau dua bahasa akan menjejaskan perpaduan kaum.
3. Orang Cina sedar dan akan bersedia mempelajari bahasa Melayu dan Inggeris di samping bahasa mereka, maka hendaklah memberi galakan.
4. Kelemahan sistem pendidikan Cina ialah kurangnya guru terlatih dan tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai.
5. Penubuhan Kolej Latihan Guru dan Latihan Dalam Perkhidmatan untuk sekolah Cina perlu dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan guru.
6. Pihak Inggeris perlulah memberi dan menambahkan bantuan kewangan kepada pentadbiran sekolah Cina.

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan:

1. Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.
2. Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah.
3. Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan.

Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatan Kuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Menghadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.

Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada dasar pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina telah terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.

Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara kandungan yang termaktub dalam Laporan Razak ialah:
1. Persamaan sukatan pelajaran bagi semua sekolah di Tanah Melayu.
2. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah.
3. Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah.
4. Penubuhan satu jenis sekolah menegah kebangsaan yang terbuka kepada semua bangsa dan menggunakan satu sukatan pelajaran yang sama.
5. Sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar.
6. Penubuhan Penguasa Pelajaran Tempatan bagi mengelolakan sekolah di Tanah Melayu.
7. Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidamatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanankan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Ini merupakan sejarah Malaya, di mana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

Laporan Rahman Talib 1960

Pada tahun 1960, Jawatankuasa Rahman Talib ditubuhkan untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Laporan ini adalah kesinambungan daripada Laporan Razak bagi mengkaji dan menyemak semula kedudukan mata pelajaran agama Islam, mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dan memperluaskan peluang mendapat pendidikan. Antara kandungan utama laporan ini ialah:
1. Pelajaran rendah percuma untuk semua kanak-kanak.
2. Semua sekolah rendah bantuan kerajaan akan berubah menjadi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.
3. Umur berhenti sekolah dinaikkan kepada 15 tahun.
4. Murid akan dinaikkan darjah secara automatik.
5. Semua peperiksaan am di sekolah menengah akan menggunakan satu bahasa rasmi sahaja.
6. Pelajaran agama Islam hendaklah disediakan di semua sekolah bantuan penuh yang mempunyai murid Islam tidak kurang daripada 15 orang. penubuhan sekolah pertukangan dan sekolah menengah teknik.

Cadangan yang terkandung dalam Lapran Rahman Talib menunjukkan keazaman kerajaan membentuk satu sistem pendidikan bersifat kebangsaan yang bertujuan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum. Laporan Jawatankuasa ini telah menjadi asas kepada penggubalan Akta Pendidikan 1961.

Akta Pelajaran 1961

Akta Pelajaran 1961 memaktubkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dilaksanakan sehingga sekarang. Dasar tersebut diasaskan kepada peruntukan utama dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 dan telah melahirkan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang terdapat pada hari ini.Ke arah mencapai matlamat perpaduan masyarakat, Akta ini telah menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua murid. Akta ini menitikberatkan penghasilan tenaga kerja yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Sejak kemerdekaan pelbagai usaha telah dibuat ke arah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan, melaksanakannya dan penyemakan semula dengan tujuan untuk mengukuhkan pelaksanaannya dan perjuangan bahasa kebangsaan ke arah memupuk perpaduan kaum.

Laporan Kabinet 1979

Pada September 1974, jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan. Bidang rujukan yang diberikan kuasa kepada Jawatankuasa tersebut ialah mengkaji semula matlamat dan sistem pendidikan dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisplin dan terlatih. Agenda utama pendidikan masih lagi perpaduan kebangsaan. Penekanan adalah lebih kepada pembentukan kurikulum yang mempunyai kandungan sukatan pelajaran yang sama untuk mencapai perpaduan nasional. Istilah perpaduan telah dinyatakan sebagai sifat afektif yang merangkumi perasaan, emosi, sentimen, sikap dan nilai. Berpandukan Laporan Kabinet, matlamat pendidikan kebangsaan telah dikhususkan untuk:
1. Mencapai perpaduan nasional.
2. Menghasilkan tenaga kerja berkualiti kepada pembangunan negara.
3. Mencapai pendemokrasian pendidikan.
4. Menanamkan nilai positif.

Antara perubahan besar yang berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia dari Laporan Kabinet wujudnya kurikulum baru pendidikan iaitu Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah diperkenalkan pada tahun 1983 dan diikuti Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.Dasar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pula pada tahun 1990. Pada tahun 1983, dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ini telah diperluaskan hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa keud juga turut diberi tumpuan. Selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada peringkat rendah yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan.

Pada tahun 1980an, akses dan peluang pendidikan untuk rakyat tanpa mengira kaum ditingkatkan dengan penambahan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar. Untuk mengurangkan jurang perbezaan peluang pendidikan antara golongan kaya dengan yang miskin, program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Televisyen Pendidikan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), asrama desa dan asrama harian, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program kesihatan dipertingkatkan. Kemudahan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi juga diberikan kepada penduduk miskin di bandar.

Akta Pendidikan 1996

Dalam memasuki era kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi kesan kepada perkembangan negara, kerajaan telah mengkaji semula Akta Pelajaran 1961 untuk merealisasikan cita-cita negara. Antaranya ialah:
1. Penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.
2. Sistem pendidikan kebangsaan meliputi peringkat pendidikan prasekolah hingga ke pendidikan tinggi.
3. Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa pengantar.
4. Menteri Pendidikan boleh menubuhkan pendidikan teknik di mana-mana institusi pendidikan termasuklah pendidikan tinggi.
5. Penubuhan Maktab Perguruan adalah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia.
6. Di sekolah yang mempunyai lebih daripada lima orang pelajar Islam maka adalah wajib guru agama disediakan.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan pengubahsuaian dan penambahan beberapa perkataan.

Wednesday 20 April 2011

Profesion Perguruan Amat Mulia Dipandang

Profesion perguruan amat mulia dipandang.  Mereka bertanggungjawab memimpin dan mendidik masyarakat.  Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru telah menyumbang khidmat bakti dalam pembanggunan bangsa dan Negara, lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar.


Sebelum membentuk sahsiah pelajar, guru terlebih dahulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi oleh pelajar. Dalam hal ini, Prof. Mohd Kamal Hasan (1998) menjelaskan, "Contoh teladan guru inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar.  Mereka seharusnya terlebih dahulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun ada segelintir masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur ini."


Dari satu sudut lain, Abdul Al-Muhammadi(1991) menjelaskan, guru ialah agen keberkesan pendidikan. Waima sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak akan mencapai matlamatnya jika agen yang menyampaikannya tidak efektif.


Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmu dan keluhuran peribadinya.  Panduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh berkesan